28 September 2012

Hidangan cinta


“Kita ini orang yang beragama Islam. Seperti yang kamu tahu, ajaran Islam itu sangat indah, cantik dan sempurna. Ibaratnya, sekiranya ajaran Islam itu dapat dilihat, ia akan berupa makanan yang sangat sedap, lazat, cantik dan berkhasiat di dunia ini. Sudahlah mata kita dapat nikmat dengan melihat cantiknya makanan itu, lidah kita pula dapat merasa nikmatnya, dan jauh ke dalam tubuh kita, kita dapat khasiatnya. Jadi kamu fahamkan baik-baik perumpamaan saya itu. Boleh?”

Saya angguk dan fikiran saya mula berputar keras memikirkan perumpamaan ajaran Islam dan makanan yang lazat itu.

“Sekarang kamu bayangkan pula, makanan yang lazat itu adalah seperti cinta. Ia cantik, lazat dan berkhasiat. Boleh?”

Saya angguk lagi, dan pada kali ini saya tidak punya masalah membayangkannya.

“Jadi sekarang, lihat roti di hadapan kamu.”

Segera saya memandang roti bakar di atas meja, yang dihidangkan oleh Tok Imam. Memandang dengan penuh debar. Entah apa lagi yang dia suruh saya bayangkan. Adakah dia mahu saya bayangkan yang roti bakar itu adalah diri saya?

Tok Imam mengambil roti itu dan berkata, “Roti bakar ini sangat sedap. Jadi kamu bayangkanlah inilah makanan yang paling sedap di dunia. Boleh?”

Saya tetap angguk tetapi sudah mula pening sedikit.

“Sekarang, makan,” kata Tok Imam dan terus melemparkan roti bakar itu ke arah wajah saya. Saya terkejut besar. Masa seperti berhenti. Buat pertama kalinya dalam hidup saya, ada roti bakar yang melekat pada wajah saya. Sepupu saya di sebelah juga ikut kaku, terkejut.

“Sekarang apa pelajaran yang kamu dapat?” soal Tok Imam itu dengan tiba-tiba.

Saya perlahan-lahan meletakkan roti bakar itu kembali ke dalam pinggan.

“Saya tidak tahu,” ujar saya yang masih terkejut.

“Begitulah agama Islam. Walaupun ajarannya indah, cantik dan baik, sekiranya cara kita 'menghidangkan' ajaran itu tidak baik, terus melempar ke muka orang, pasti sesedap mana pun makanan itu orang tidak akan mahu makan. Malah orang itu akan bermusuh dengan kita, akan mengutuk makanan kita tidak sedap. Begitulah yang terjadi sekarang dengan agama Islam. Kamu sendiri boleh lihat dengan jelas di sekeliling kamu. Contohnya, hukum menutup aurat. Ia ajaran yang indah dan punya hikmah yang tinggi. Tetapi bagaimana kita memberitahu orang lain berkenaan ajaran dan hukum itu? Kita marah-marah, kutuk dan segala macam sehingga orang itu menjauhkan diri dari kita. Apa salahnya kita 'menghidangkan' ajaran agama yang cantik dan indah itu dengan baik-baik? Faham?”

Saya menelan liur mendengarkan ceramah Tok Imam, sambil mengangguk, sambil bertanya dalam hati, “Bagaimana soal cinta saya? Mengapa jauh betul larinya?”

“Begitulah juga cinta. Kamu perlu 'hidangkan' cinta itu dengan sebaik-baik cara. Walau sesuci manapun cinta kamu sekiranya cara kamu 'hidangkan' cinta itu tidak betul, cinta kamu tetap tidak ada harganya. Dan cara menghidangkan cinta dengan betul adalah dengan cara agama. Sekiranya tidak, kamu seperti sedang yang melempar roti kepada wajah perempuan yang kamu gila-gilakan itu. Apa rasanya dilempar roti tadi? Kamu suka?”

Saya segera menggeleng dan sedia mengelak sekiranya Tok Imam itu akan kembali melempar roti ke arah saya.

“Jadi, saya nasihatkan sekiranya kamu benar-benar suka kepada gadis itu, kamu jumpa ayahnya. Itulah cara agama. Itulah cara menghidangkan cinta dengan betul. Sekiranya kamu tidak berani lagi, anggaplah kamu sudah putus cinta. Tetapi janganlah kamu risau. Umur kamu baru 16 tahun, dan lelaki yang putus cinta pada umur begini, adalah perkara biasa, seperti biasanya mereka mudah jatuh cinta. Jadi kamu berani?”

~Bahruddin Bekri

*******

Sekali-sekala letak hasil nukilan orang yang hebat-hebat sebagai pembuka kata pun ok jugak.

*******

Alhamdulillah, bertambah lagi masjid yang dibina. Baru sahaja saya menulis entri sahabat saya Ruzaidi mendirikan keluarga, minggu ini ada lagi sahabat saya mengikut jejak. Seperti sedang dilanda musim durian lagaknya.


Berkembara ke Tawau untuk memeriahkan majlis tidak sia-sia. Sepanjang saya dan Loy di sana, murah sahaja rezeki kami, dilayan serba-serbi, sepertinya kami yang akan berkahwin. Haha..
Terima kasih banyak-banyak ya mama Shuhaila.

Kepada Hamizan dan Seha, semoga ikatan yang dibina berkekalan ke syurga. Jangan lah malu-malu menuntut ilmu rumahtangga dari mereka yang lebih arif. Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan lagi.....ha sambung-sambung
*******

Orang kata, bila kita mengembara ke tempat baru bersama rakan, ketika itulah kita akan mengenali rakan kita dengan lebih dekat lagi. Even Aiman Azlan pun cakap benda yang sama.

Dijadikan cerita, sepanjang perjalanan saya dan Loy ke sana, saya sendiri dapat melihat kesungguhan sahabat saya itu dalam usahanya untuk "menghidangkan" cintanya dengan sebaik-baiknya. Membantu sana, membantu sini, mengangkat sana, menyapu sini, seolah-olah dialah pengantin. Sebenarnya banyak lagi perkara-perkara yang dia lakukan, tapi biarlah itu menjadi rahsia kami berdua.

Apa-apa pun, semoga usahamu wahai sahabat membuahkan hasil. Ada satu ketika sewaktu saya sedang merekod lafaz akad nikah, satu suara sumbang menyapa dari belakang
"Kau bila lagi bean?"
"Biarlah" balas saya

Biarlah..
kita tahu Tuhan menentu, kita tahu dia menunggu..
ceyh~




08 September 2012

Ikatan


Dalam dunia ini, ada 2 jenis ikatan. Ikatan pertama adalah ikatan zahir. Ikatan ini dapat kita lihat dengan mata kasar. Contoh seperti segugus kunci. Setiap kunci-kunci itu disatukan dalam satu ikatan oleh satu keychain.

Kita mampu menguraikan kunci-kunci itu walaupun kita bukan sebahagian daripada ikatan. Sesiapa pun mampu, bukan sahaja saya seorang.

Ikatan yang kedua pula adalah ikatan maknawi. Ikatan ini pula tidak dapat dilihat oleh mata kasar. Contohnya seperti ikatan akidah kita kepada Tuhan. Berbeza dengan ikatan zahir, orang yang tidak terlibat dalam ikatan itu tidak boleh menguraikannya. Hanya kita sendiri yang mampu membatalkan ikatan akidah itu sama ada menafikan kewujudanNya, menolak kekuasaanNya dan lain-lain.

Contoh yang lain pula adalah perkahwinan. Tidak ada tali yang mengikat di antara si suami dan si isteri. Sama seperti ikatan akidah, orang yang tidak terlibat dalam ikatan suami isteri itu tidak mampu memutuskannya. Emak tidak bolah menceraikan isteri, ayah tidak boleh menjatuhkan talak. Hanya kita sendiri sebagai suami yang mampu memutuskan atau menjaga ikatan itu.

******************


Kepada sahabat saya, Ruzaidi dan isteri, selamat melangkah ke alam baru. Semoga perjalanan menempuhi hidup bersama dilimpahi rahmat dari Allah. Maaflah tidak dapat hadir majlis akad nikah kalian. Tiket sekarang mahalnya macam mahu ke London.


Barakallahu fikum....


P/S : Perkahwinan itu perlu disebarkan bukan? Betulkan saya andai tersilap...

06 September 2012

rapuh



bangunan itu takkan kukuh
walau tinggi mencakar langit
biar gagah menjulang awan
andai tapaknya penuh lompong
lompong dengan dosa nan hitam

itulah kenyataan
yang kita telah ketahui

tapi tidak kita sedari

-dubai 2011
Related Posts with Thumbnails