“Kita ini orang yang beragama Islam. Seperti yang kamu tahu, ajaran
Islam itu sangat indah, cantik dan sempurna. Ibaratnya, sekiranya ajaran
Islam itu dapat dilihat, ia akan berupa makanan yang sangat sedap,
lazat, cantik dan berkhasiat di dunia ini. Sudahlah mata kita dapat
nikmat dengan melihat cantiknya makanan itu, lidah kita pula dapat
merasa nikmatnya, dan jauh ke dalam tubuh kita, kita dapat khasiatnya.
Jadi kamu fahamkan baik-baik perumpamaan saya itu. Boleh?”
Saya angguk dan fikiran saya mula berputar keras memikirkan perumpamaan ajaran Islam dan makanan yang lazat itu.
“Sekarang kamu bayangkan pula, makanan yang lazat itu adalah seperti cinta. Ia cantik, lazat dan berkhasiat. Boleh?”
Saya angguk lagi, dan pada kali ini saya tidak punya masalah membayangkannya.
“Jadi sekarang, lihat roti di hadapan kamu.”
Segera saya memandang roti bakar di atas meja, yang dihidangkan oleh Tok
Imam. Memandang dengan penuh debar. Entah apa lagi yang dia suruh saya
bayangkan. Adakah dia mahu saya bayangkan yang roti bakar itu adalah
diri saya?
Tok Imam mengambil roti itu dan berkata, “Roti bakar ini sangat sedap.
Jadi kamu bayangkanlah inilah makanan yang paling sedap di dunia.
Boleh?”
Saya tetap angguk tetapi sudah mula pening sedikit.
“Sekarang, makan,” kata Tok Imam dan terus melemparkan roti bakar itu ke
arah wajah saya. Saya terkejut besar. Masa seperti berhenti. Buat
pertama kalinya dalam hidup saya, ada roti bakar yang melekat pada wajah
saya. Sepupu saya di sebelah juga ikut kaku, terkejut.
“Sekarang apa pelajaran yang kamu dapat?” soal Tok Imam itu dengan tiba-tiba.
Saya perlahan-lahan meletakkan roti bakar itu kembali ke dalam pinggan.
“Saya tidak tahu,” ujar saya yang masih terkejut.
“Begitulah agama Islam. Walaupun ajarannya indah, cantik dan baik,
sekiranya cara kita 'menghidangkan' ajaran itu tidak baik, terus
melempar ke muka orang, pasti sesedap mana pun makanan itu orang tidak
akan mahu makan. Malah orang itu akan bermusuh dengan kita, akan
mengutuk makanan kita tidak sedap. Begitulah yang terjadi sekarang
dengan agama Islam. Kamu sendiri boleh lihat dengan jelas di sekeliling
kamu. Contohnya, hukum menutup aurat. Ia ajaran yang indah dan punya
hikmah yang tinggi. Tetapi bagaimana kita memberitahu orang lain
berkenaan ajaran dan hukum itu? Kita marah-marah, kutuk dan segala macam
sehingga orang itu menjauhkan diri dari kita. Apa salahnya kita
'menghidangkan' ajaran agama yang cantik dan indah itu dengan baik-baik?
Faham?”
Saya menelan liur mendengarkan ceramah Tok Imam, sambil mengangguk,
sambil bertanya dalam hati, “Bagaimana soal cinta saya? Mengapa jauh
betul larinya?”
“Begitulah juga cinta. Kamu perlu 'hidangkan' cinta itu dengan
sebaik-baik cara. Walau sesuci manapun cinta kamu sekiranya cara kamu
'hidangkan' cinta itu tidak betul, cinta kamu tetap tidak ada harganya.
Dan cara menghidangkan cinta dengan betul adalah dengan cara agama.
Sekiranya tidak, kamu seperti sedang yang melempar roti kepada wajah
perempuan yang kamu gila-gilakan itu. Apa rasanya dilempar roti tadi?
Kamu suka?”
Saya segera menggeleng dan sedia mengelak sekiranya Tok Imam itu akan kembali melempar roti ke arah saya.
“Jadi, saya nasihatkan sekiranya kamu benar-benar suka kepada gadis itu,
kamu jumpa ayahnya. Itulah cara agama. Itulah cara menghidangkan cinta
dengan betul. Sekiranya kamu tidak berani lagi, anggaplah kamu sudah
putus cinta. Tetapi janganlah kamu risau. Umur kamu baru 16 tahun, dan
lelaki yang putus cinta pada umur begini, adalah perkara biasa, seperti
biasanya mereka mudah jatuh cinta. Jadi kamu berani?”
~Bahruddin Bekri
*******
Sekali-sekala letak hasil nukilan orang yang hebat-hebat sebagai pembuka kata pun ok jugak.
*******
Alhamdulillah, bertambah lagi masjid yang dibina. Baru sahaja saya menulis entri sahabat saya Ruzaidi mendirikan keluarga, minggu ini ada lagi sahabat saya mengikut jejak. Seperti sedang dilanda musim durian lagaknya.
Berkembara ke Tawau untuk memeriahkan majlis tidak sia-sia. Sepanjang saya dan Loy di sana, murah sahaja rezeki kami, dilayan serba-serbi, sepertinya kami yang akan berkahwin. Haha..
Terima kasih banyak-banyak ya mama Shuhaila.
Kepada Hamizan dan Seha, semoga ikatan yang dibina berkekalan ke syurga. Jangan lah malu-malu menuntut ilmu rumahtangga dari mereka yang lebih arif. Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan lagi.....ha sambung-sambung
*******
Orang kata, bila kita mengembara ke tempat baru bersama rakan, ketika itulah kita akan mengenali rakan kita dengan lebih dekat lagi. Even
Aiman Azlan pun cakap benda yang sama.
Dijadikan cerita, sepanjang perjalanan saya dan Loy ke sana, saya sendiri dapat melihat kesungguhan sahabat saya itu dalam usahanya untuk "menghidangkan" cintanya dengan sebaik-baiknya. Membantu sana, membantu sini, mengangkat sana, menyapu sini, seolah-olah dialah pengantin. Sebenarnya banyak lagi perkara-perkara yang dia lakukan, tapi biarlah itu menjadi rahsia kami berdua.
Apa-apa pun, semoga usahamu wahai sahabat membuahkan hasil. Ada satu ketika sewaktu saya sedang merekod lafaz akad nikah, satu suara sumbang menyapa dari belakang
"Kau bila lagi bean?"
"Biarlah" balas saya
Biarlah..
kita tahu Tuhan menentu, kita tahu dia menunggu..
ceyh~