19 November 2012

Aisya Humaira : Menatap dunia kali pertama



Aisya Humaira, anak kecil yang masih merah pipinya, matanya bundar seindah bulan purnama, tawa manjanya mampu mengubat mana-mana hati yang lara.

Dia berlari anak menuju ke arah ibunya sambil tangan kecil mulusnya itu menutup kedua telinga.
"Ibu, lihat tu! Banyak sungguh kapal di langit ibu! Mereka mahu ke mana ibu?" jerit kecil Aisya agar didengari ibunya, menewaskan kelantangan bunyi-bunyi sonic boom jet-jet pejuang yang melintasi mereka.

"Aisya, mahu ke mana sayang?" jawab ibunya yang sedang menjemur pakaian di halaman rumah

"Tidak ibu, Aisya hanya mahu bertanya kepada ibu. Kapal-kapal itu mahu ke mana ibu?"

"Oh..sejujurnya ibu pun tidak pasti sayang. Tapi ibu rasa itulah pejuang-pejuang Islam kita yang bakal berjuang di jalan Allah. Mereka akan ke Gaza sayang,"

"Mengapa ke Gaza ibu? Apa yang ada di Gaza ibu? Mereka ada saudara di sanakah ibu?"

Oh anakku, engkau masih mentah untuk mengetahui keadaan dunia. Tapi biarlah ibu menerangkan selembutnya kepadamu, agar tidak lenyap umat Islam yang masih mengambil cakna isu umat Islam ini.

"Aisya, mereka ke sana untuk berjihad sayang. Berjihad untuk membantu saudara-saudara kita yang ditindas, saudara yang tidak bertalikan darah, tetapi saudara yang bertalikan aqidah. Ketika ini mereka sedang dibunuh sayang, dibunuh kerana mempertahankan apa yang sepatutnya menjadi hak mereka,"

"Siapa yang membunuh itu ibu?"

"Mereka itulah kaum Yahudi sayang, menggelar diri mereka yang berhak ke atas tanah Israel yang sudah jelas di mata dunia sebenarnya hak milik anak-anak Palestin." jawab ibunya

Dia mendukung Aisya ke arah sepohon pokok kurma. Mereka berdua duduk di atas pangkin yang tersedia di situ. Kemudian mereka bersama-sama melihat keindahan ciptaan Tuhan di hadapan mereka. Melihat luasnya padang pasir yang dahulunya menjadi saksi perjalanan hidup Nabi Musa a.s

"Aisya, sesungguhnya Gaza itu telah lama berdarah. Namun hakikatnya, cinta yang kita beri kepada mereka hanyalah cinta bermusim. Mungkin membara hari ini, esok menjadi abu, lusa ditiup angin lalu menjadi debu dan hilang tanpa bekas. Lihat betapa rapuhnya pegangan umat Islam hari ini sayang'

"Bagaimana dengan saudara-saudara sebaya aisya di sana ibu?"

"Saudara-saudara Aisya ketika ini tidak sebertuah Aisya sayang. Ada yang telah kehilangan ibu ayah, abang kakak, malah ada yang tidak sempat mengetahui siapa ahli keluarganya kerana semuanya telah gugur syahid mempertahankan agama dan tanah yang mereka cintai.  Tatkala Aisya ketawa ria bermain mesra, anak-anak kecil disana membesar dengan membaling batu ke arah musuh, dan anak-anak ini jugalah yang akan membina roket mereka sendiri membalas segala ketidakadilan yang dilakukan Israel"

Perlahan, mutiara jernih mengalir di pipi Aisya

"Mengapa Aisya menangis sayang?"

"Aisya kasihankan mereka ibu. Banyak sungguh dugaan mereka. Tidak tertanggung rasanya andai Aisya sendiri mengalaminya"

"Jangan risau sayang. Merekalah antara insan-insan yang paling kental sekali di dunia ini. Biar saban hari jet musuh menghujani dengan bom-bom dari atas, tetapi mereka tetap percaya Tuhan lebih tinggi daripada jet-jet itu."

"Aisya berdoa semoga mereka beroleh kemenangan suatu hari nanti ibu"

"Sudah pasti sayang, sudah pasti"

"Ibu, di mana ayah ibu?"

"Ayah aisya di atas, tengah update blog."

"Oooohh.." balas Aisya sambil mengukir senyuman



*************

No comments:

Related Posts with Thumbnails